Motivasi online
Kita berhak mengecapi kebahagian kerana bahagia adalah milik semua.

Erti Sebuah Kebahagiaan


Pada suatu hari Seorang perempuan datang mengadu masalah kepada saya. Katanya, sepanjang hidupnya beliau tidak pernah mengecapi kebahagiaan. Hidupnya selau dirundung malang. Meskipun berkahwin beliau tidak merasa seperti adanya suami disisi. Segala tugas perlu dilakukan sendiri.Apa yang diingininya tidak pernah diperolehi. Entah dimana silapnya. Hendak kata tidak berusaha , puas sudah ia berusaha. Hendak kata tidak berdoa, sudah lama beliau berdoa memohon agar kehendaknya dimakbulkan tuhan.Keluhnya lagi Mengapa orang lain beroleh kebahagiaan sedangkan beliau tidak. Mengapa orang lain kaya raya sedangkan beliau tetap miskin. Beliau amat kecewa dan beliau amat kesal dengan hidup yang dihadapinya ini……

Sebenarnya banyak lagi keluhan dan rungutan yang diutarakan oleh wanita ini kepada saya. bahkan bukan dia seorang, sebelum ini ada beberapa orang yang datang mengadu masalah yang mana ianya hampir sama seperti yang dihadapi oleh wanita ini... Lantaran itu mariulah kita melihat serba sedikit tentang erti bahagia yang sering dicari dan diharapkan oleh setiap insan.

APAKAH ERTI KEBAHAGIAN


Antara nikmat paling besar dianugerahkan tuhan kepada hambanya adalah nikmat kebahagiaan. Kebahagiaan merupakan satu kalimah keramat yang bersifat subjektif. Pengertiannya berbeza antara seorang dengan yang lain. Begitu juga cara untuk mencapainya.Ada yang melihat kebahagiaan terletak kepada kepuasan jasmani. Ada juga yang melihat kebahagiaan dari dua sudut. Satunya bersifat waham dan satunya bersifat sejati. Bahagia yang bersifat waham adalah untuk mencari kepentingan sendiri tanpa memikirkan kepentingan dan perasaan orang lain manakala bahagia yang bersifat hakiki adalah bahagia yang bersifat sejagat. Contoh kebahagiaan hakiki adalah seperti mengasihi dan mencintai seseorang seperti mana kita mengasihi dan mencintai diri sendiri.Sebagai seorang yang beriman pastinya kita akan melihat kebahagiaan menurut kacamata agama. Dari sudut agama kebahagiaan adalah bersifat sejagat. Bahagia meliputi seluruh perjalanan hidup. Kepuasan jasmani dan rohani yang ingin dicapai oleh manusia untuk mencari kebahagiaan mestilah bersandarkan kepada aturan dan hukum agama. Tidak ada gunanya sekiranya kita sihat tubuh badan namun ianya tidak digunakan kearah ketaatan kepada tuhan. Tidak ada gunanya kiranya kita disanjung dan dihormati dan dalam masa yang sama kita menjauhi tuhan. Lebih malang lagi kiranya kehormatan dan sanjungan itu membawa kita kepada ketakburan dan kekufuran.Rasa bahagia adalah bergantung kepada penafsiran kita. Rasa bahagia juga bergantung kepada sifat Qanaah dan Redha , keyakinan kita terhadap Usaha dan Tawakkal, Sabar dan harap dan yang paling penting… Kebahagiaan adalah bergantung kepada keteguhan iman kita kepada tuhan. Bahagia letaknya dihati. Kalau hati kita sakit maka kita tidak akan mengecapi kebahagiaan walaupun kita di anugerahi dengan kesihatan, kecantikan rupa paras, harta, pangkat dan kedudukan. Namun kiranya hati kita bersih dan sihat kita akan merasai bahagia dengan apa yang kita kecapi dan nikmati sekarang ini. Dalam pada itu kita terus berusaha untuk mencapai apa yang kita inginkannya dengan bergantung harapan sepenuhnya kepada tuhan setelah usaha dan ikhtiar kita lakukan…. Ingatlah bahawa kebahagiaan sejati bukan hanya untuk dikecapi didunia bahkan ianya juga untuk kita kecapi diakhirat nanti.

Rawatilah Hati Pasti Kebahagiaan Akan Menjelma

Sebenarnya punca bagi segala masalah adalah terletak pada hati. Hati yang suci akan menerbitkan zouk kebahagiaan namun sekiranya hati yang dicemari dengan kekotoran maka ianya akan menerbitkan bayangan kegelapan kedukaan.
Seorang yang beriman sebenarnya telah menyediakan tapak untuk hati menyemai pokok kebahagiaan. Pokok kebahagiaan itu akan subur dengan baja ibadah.Ibadah itu mesti dilaksanakan dengan sepenuh keikhlasan. hasilnya akan terbitlah sesuatu yang dinamakan Tajalli. Bila tajalli ini telah terbit maka kita akan merasai kemanisan ibadah yang akhirnya akan membawa ketenagan kepada hati. Apakah kita lupa akan firman tuhan yang bermaksud " Adapun dengan mengingati tuhan itu akan membahagiakan hati"?

Seringkali kita melihat manusia yang tidak tenang hatinya adalah disebabkan rohnya yang lapar. Mungkin kita tidak pernah lupa memberi makan kepada jasmani namun kita sering kali lupa untuk memberi makan roh kita. Jika jasmani kita makanannya adalah apa yang kita suapkan kemulut lalu disimpan di perut maka makanan roh kita adalah apa yang kita ucapkan zikir pada tuhan dan kita gerakkan anggota untuk tunduk dan patuh kepada tuhan lalu kita simpankan ia didalam lubuh hati. Kedua-dua ini mesti seimbang. Bukankah Rasul telah mengingatkan kita.. " Sesungguhnya bagi tuhan engkau ada hak yang mesti engkau tunaikan, bagi diri engkau ada hak yang mesti engkau tunaikan dan bagi tanggungan engkau ada hak yang m,esti engkau tunaikan... maka tunaikanlah segala hak kepada mereka yng berhak"

Dari sini kita mesti sedar bahawa hati adalah punca kebahagiaan. bagaimana untuk mensucikan hati dan menyediakannya untuk mencapai kebahagiaan akan kita bicarakan dalam keluaran akan datang Insya Allah. Semoga apa yang kita cari tentang bahagia itu mampu kita kecapi In sya Allah.

0 comments:

Followers