Motivasi online
Kita berhak mengecapi kebahagian kerana bahagia adalah milik semua.

Kalau Tidak Dipecahkan Ruyung

7:00 AM

Kalau Tidak Di Pecahkan Ruyung Manakan Dapat Sagunya
Itulah kata-kata bernilai yang amat jarang sekali untuk dihargai oleh kebanyakan kita. Kita inginkan kejayaan namun kiuta tidak mahu berusaha. Kita inginkan kejayaan namun kita tidak mahu melabur kesenangan hari ini untuk kebahagiaan hari esok. kalau boleh kita mahu segalanya datang bergolek. kita mahu segalanya terjadi secara magik. Tanpa usaha yang memenatkan. Tanpa mengeluarkan modal. Tanpa mengganggu kesenangan yang telah kita kecapi ini.

Bila kita melihat orang lain berjaya, kita juga menginginkannya. kita ingin agar beroleh kejayaan sepertinya. Kita mengharap. Kita Pasrah pada takdir sedangkan kita tahu bahawa takdir itu akan datang melalui usaha kita. kita melihat orang berjaya dalam perniagaan. Kita pun ingin sama berjaya. Kita buka perniagaan. Orang Senyum kita masam. Orang mengemas kedai kita melayan SMS. Orang merancang strategi perniagaan kita sibuk cari bomoh untuk melaris perniagaan. Orang buat pinjaman untuk membesarkan perniagaan kita pun turut sama meminjam. Tetapi kita menggunakannya untuk menukar kereta baru, rumah baru bahkan pasangan baru....

Ini adalah sebahagian dari secebis kisah yang sering kita lihat. Secebis dari drama kehidupan yang mana kita adalah pelakon dan kita adalah pengarah. kadang kala kita sendiri merasa pelik. Mengapa kita sering menangisi atau menyesali hidup sedangkan kita tidak mahu keluar dari kepompong yang mengawal kita. Kepompong yang menyekat kita dari berkembang. jangan harapkan orang lain. Kita sendiri yang perlu merubahnya.
Renungilah nasihat orang-orang tua kita " kalau tidak pecahkan ruyung... manakan dapat sagunya " Ruyung bagi kita sekarang adalah kemalasan... kejumudan.... kelemahan.... kelembapan.....

Semuanya itu berpunca dari hati kita yang tidak sihat kalau hati sihat maka segalanya akan berjalan lancar
Read On 0 comments

Taubat

2:32 PM
Taubat
Setiap manusia (kecuali para nabi) pastinya tidak terlepas daripada melakukan dosa. Samada disedari ataupun tidak, kita sebenarnya tidak terlepas dari melakukan dosa. Dosa terbahagi kepada dua. Dosa kepada tuhan dan dosa sesama makhluk. Jika kita melakukan dosa kepada tuhan maka segeralah bertaubat. Azamkan dalam hati kita untuk tidak mengulanginya serta berdoa agar kita dianugerahi hati yang suci luhur. Allah maha pengampun. Semoga dengan sifatNya yang maha pengampun itu, segala dosa kita diampuninya. manakala dosa sesama makhluk maka tidak dapat tidak kita perlu memohon keampunan serta kemaafan dari empunya diri. Sekiranya empuya diri itu tidak mahu mengampuninya maka selama itulah kita akan tergantung dan urusan kita tidak akan selesai meskipun kita sudah meninggalkan dunia yang fana ini.
Ingatlah masa untuk kita beramal adalah teramat pendek dan singkat sekali. Gunakanlah sepenuhnya masa itu untuk kita mengabdikan diri kepada Yang Maha pencipta. Kalau di dunia ini, kita di kelilingi teman dan taulan namun apabila berada di alam barzakh, kita akan keseorangan. Hanya ibadahlah yang mampu menemani kita dan membantu kita menjawab segala persoalan Mungkar dan Nakir.Hidup kita adalah untuk mengabdikan diri kepada tuhan bukannya untuk menjauhi diri daripadaNya. Segala ini bergantung kepada hati. Jika bersih maka segala yang baik itu nampak indah jika sebaliknya, Yang buruk itu dipandang mulia dan yang baik itu terasa begitu hina sekali......hatilah punca segala-galanya.
Read On 0 comments

Usah Tangisi Masa Yang Berlalu

2:36 PM
Peristiwa yang memalukan @ menyedihkan jangan diingati-
Fokus kehidupan kita adalah untuk hari mendatangSebagaimana kata-kata Ben Sweeetland dalam bukunya “ Saya pasti” bahawa kehidupan ini adalah proses menyelesaikan masalah. Selagi kita bernyawa, selagi kita hidup maka kita akan berhadapan dengan masalah. Cuma apa yang membezakan kita hanyalah tahap masalah yang dihadapi dan cara kita mengangani masalah yang dihadapi.
Apabila kita berjaya menyelesaikan masalah itu bermakna kita berjaya melepasi satu halangan untuk menghadapi halangan yang lain. Kita sepatutnya bersyukur dan bergembira kerana halangan itu dapat kita atasi. Seorang yang berlari sejauh 5 kilometer mungkin berhadapan dengan cabaran dari mindanya untuk menamatkan larian itu sebelum sampai ke garisan penamat. Sekiranya dia terus berusaha sehingga berjaya pasti beliau akan merasa satu kepuasan dan keseronokan setelah usahanya itu berjaya.
Kehidupan kita ini seharusnya diharungi dengan perasaan seronok. Segala apa yang mengecewakan kita pada masa lalu seharusnya dijadikan sebagai panduan dan rangsangan untuk kita membina sebuah kecemerlangan. Kita mesti terus meningkat / maju hari demi hari. Perjalanan kita adalah menuju kehadapan. Apa yang ditinggalkan dibelakang itu tidak perlu diratapi kerana kita sudah tidak mempunyai masa untuk meratapinya.Hidup ini adalah satu perjalanan. Kehidupan kita didunia ini bukanlah satu destinasi. Bila kita mengatakan bahawa kehidupan ini adalah satu perjalanan maka kita mesti mempersiapkan perjalanan ini dengan bekalan yang secukupnya. Ingatlah bahawa semua orang sedang mengharungi perjalanan. Sedetik masa kita gunakan untuk kita meratapi masa lalu boleh menyebabkan kita ketinggalan beberapa tangga kejayaan berbanding orang lain.Tidak dinafikan bahawa perasaan semula jadi kita akan merasai suka, duka, sedih, pilu, marah dan sebagainya. Apa yang telah berlalu itu biarkanlah berlalu cuma bagi kita ialah untuk menjadikannya iktibar atau neraca timbangan untuk membuat keputusan bagi hari mendatang. Teruskanlah perjalanan kita menuju kehadapan bukannya memberhentikannya dengan melihat apa yang telah kita tinggalkannya dibelakang. Biarkan sejarah menjadi pedoman untuk kita terus maju.
Read On 0 comments

GAGAL BUKAN BEERTI KALAH

9:27 AM
GAGAL BUKAN BEERTI KALAH

Adakah anda pernah gagal ? Adakah anda selalu bertindak untuk tidak melakukan sesuatu yang anda fikir boleh membawa keuntungan semata-mata kerana anda takutkan kegagalan?Ramai dikalangan kita yang takutkan kegagalan. Bagi sesetengah kumpulan, kalimah Gagal amat berpuaka. Mereka fikir kegagalan beerti kemusnahan dan pengakhiran bagi sesuatu. Mungkin pelik kalau saya katakan bahawa kegagalan itu sebenarnya adalah kunci bagi kejayaan. Anda berani gagal bererti anda sedang menempah kejayaan.Cuba perhatikan bagaimana kejayaan yang diperolehi oleh para pahlawan Islam yang terdahulu begitu juga kejayaan yang dicapai oleh Shogun, Kamikaze dan sebagainya. Dalam peperangan yang mereka tempuhi anda akan dapati bahawa mereka berperang untuk mati. Kalau dua orang bertarung pastinya mereka inginkan kemenangan. Kemenangan itu tanda kejayaan sebaliknya mereka yang kalah dikira gagal. Dalam sejarah jihad, para syuhada berjuang untuk mati. Bila mereka berjuang untuk mati mereka tidak akan takut sekiranya tercedera atau dibunuh. Keberanian mereka menghadapi kegagalan ini menyebabkan mereka memperolehi kemenangan terhadap perjuangan mereka. Inilah kunci bagi kejayaan mereka.Orang yang pernah gagal sebenarnya mereka telah menyuntik imunisasi untuk mencapai kemenangan. Kegagalan yang mereka alami akan menjadikan diri mereka tabah dan kental bagi menghadapi cabaran yang seterusnya.Dalam latihan ketenteraan contohnya, Jika anda gagal dalam latihan basic komando untuk kali pertama tentunya anda akan berusaha untuk melakukan buat kali kedua. Pada kali ini pastinya persiapan anda lebih baik dari kali pertama. Anda juga akan lebih bersemangat untuk membuktikan bahawa anda boleh.
Read On 0 comments

Ketenangan Bertakhta dalam hati Yang Bersih

5:43 PM
Ketenangan, kebahagian dan kejayaan merupakan apa yang dicari oleh setiap insan. Dalam pencarian ini kita kerap kali menggunakan kekuatan akal dan naluri semata-mata. Kadang kala kita tertipu... ditipu dan menipu... semata mata untuk memperolehi ketenagan kebahagian dan kejayaan. Insya Allah dalam tulisan akan datang saya akan mengajak saudara/i untuk bersama-sama dalam pengembaraan mencari 3k ini. Sebagai permulaannya kita mesti menyediakan tapak untuk menyemainya agar apa yang kita cari ini boleh tumbuh dengan subur dan akhirnya membuahkan hasil yang kita harapkan. Tapak itu tak lain dan tak bukan hanyalah sekeping HATI!!!
Ketenangan jiwa adalah merupakan satu nikmat yang tidak ternilai harganya. Dalam mencari ketenangan jiwa berbagai cara telah dilakukan oleh manusia untuk mencapainya. Ada dikalangan kita yang mencari ketenangan melalui hiburan seperti menyanyi, berkaroke, berdansa dan berdisko. Ada juga yang mencari ketenangan dengan melakukan aktiviti seperti beriadah, yoga, melancong dan menyendiri. Tak kurang juga yang mencari ketenangan jiwa melalui bacaan Al Quran, berzikir, bersolat dan bertafakkur. Pokok pangkalnya apa yang dicari adalah ketenangan bagi jiwa.
•Apabila jiwa tenang hidup akan terasa bahagia. Bagi yang memperolehi kebahagiaan hidup segala cubaan kehidupan dapat dilalui dengan senang. Jika jiwa berserabut kehidupan akan menjadi sesuatu bebanan. Pada masa itu harta yang banyak suidah tidak bernilai, pangkat dan kedudukan sudah menjadi bebanan dan tekanan.
•Untuk mendapatkan ketenangan kita mesti menyediakan tempat untuk ia tumbuh. Kalau pohon disemai diladang, binatang diternak di kandang, manusia dikandung di rahim maka ketenangan tempatnya adalah di hati. Hati adalah tempat tumbuhnya ketenangan. .
•Ketenangan tidak akan datang sekiranya tempat tumbuhnya tidak dijaga. Hati yang dipenuhi oleh kedengkian, kemarahan, dendam kesumat, buruk sangka, irihati tidak memungkinkan untuk ketenangan yang dicari itu bisa tumbuh dan subur.
•Jika mahu hati disinari ketenangan maka segala halangan yang menyekat tumbuhnya ketenangan itu perlu dibersihkan.
•Untuk membersihnya bukanlah satu perkara yang mudah. Tanpa kesungguhan dan ikhtiar segala kekotoran hati tidak mampu untuk dibersihkan. Apabila kita berjaya membersihkan kekotoran hati ini maka tempat bertapatnya kekotoranyang lalu mesti disemai dengan kejernihan. Apabila kita berjaya mencungkil dendam maka semailah kemaafan agar tapak yang pernah tumbuhnya dendam kesumat tidak ditumbuhi oleh sifat buruk yang lain, bila berjaya mencungkil kedengkian dan irihati semailah kasih sayang dan qanaah begitu juga bila berjaya mencungkil buruk sangka maka semailah Husnuz Zhan atau baik sangka agar keseluruhan hati itu bisa tumbuh sifat-sifat mahmudah yang diredhai tuhan.
•Benih mahmudah yang baru disemai mesti dijaga. Kerana terdapat banyak musuh yang cuba untuk merosakkannya. Apabila kita berjaya menjaganya dengan baik maka pokok mahmudah itu akan dapat terus hidup subur dan akhirnya akan lahirlah buah tajalli yang kita cari. Nikmat ketenangan merupakan satu daripada buah tajalli yang hanya dapat dikecapi oleh mereka yang berusaha mencapainya dan berjaya memperolehinya. Ianya tidak dapat digambar dengan lukisan dan tidak dapat dinyatakan dengan kata-kata atau tulisan.
•Ketenangan tidak mampu diperolehi dengan hanya menempel. Ketenangan perlu dicari.
Read On 0 comments

Erti Sebuah Kebahagiaan

5:33 PM


Pada suatu hari Seorang perempuan datang mengadu masalah kepada saya. Katanya, sepanjang hidupnya beliau tidak pernah mengecapi kebahagiaan. Hidupnya selau dirundung malang. Meskipun berkahwin beliau tidak merasa seperti adanya suami disisi. Segala tugas perlu dilakukan sendiri.Apa yang diingininya tidak pernah diperolehi. Entah dimana silapnya. Hendak kata tidak berusaha , puas sudah ia berusaha. Hendak kata tidak berdoa, sudah lama beliau berdoa memohon agar kehendaknya dimakbulkan tuhan.Keluhnya lagi Mengapa orang lain beroleh kebahagiaan sedangkan beliau tidak. Mengapa orang lain kaya raya sedangkan beliau tetap miskin. Beliau amat kecewa dan beliau amat kesal dengan hidup yang dihadapinya ini……

Sebenarnya banyak lagi keluhan dan rungutan yang diutarakan oleh wanita ini kepada saya. bahkan bukan dia seorang, sebelum ini ada beberapa orang yang datang mengadu masalah yang mana ianya hampir sama seperti yang dihadapi oleh wanita ini... Lantaran itu mariulah kita melihat serba sedikit tentang erti bahagia yang sering dicari dan diharapkan oleh setiap insan.

APAKAH ERTI KEBAHAGIAN


Antara nikmat paling besar dianugerahkan tuhan kepada hambanya adalah nikmat kebahagiaan. Kebahagiaan merupakan satu kalimah keramat yang bersifat subjektif. Pengertiannya berbeza antara seorang dengan yang lain. Begitu juga cara untuk mencapainya.Ada yang melihat kebahagiaan terletak kepada kepuasan jasmani. Ada juga yang melihat kebahagiaan dari dua sudut. Satunya bersifat waham dan satunya bersifat sejati. Bahagia yang bersifat waham adalah untuk mencari kepentingan sendiri tanpa memikirkan kepentingan dan perasaan orang lain manakala bahagia yang bersifat hakiki adalah bahagia yang bersifat sejagat. Contoh kebahagiaan hakiki adalah seperti mengasihi dan mencintai seseorang seperti mana kita mengasihi dan mencintai diri sendiri.Sebagai seorang yang beriman pastinya kita akan melihat kebahagiaan menurut kacamata agama. Dari sudut agama kebahagiaan adalah bersifat sejagat. Bahagia meliputi seluruh perjalanan hidup. Kepuasan jasmani dan rohani yang ingin dicapai oleh manusia untuk mencari kebahagiaan mestilah bersandarkan kepada aturan dan hukum agama. Tidak ada gunanya sekiranya kita sihat tubuh badan namun ianya tidak digunakan kearah ketaatan kepada tuhan. Tidak ada gunanya kiranya kita disanjung dan dihormati dan dalam masa yang sama kita menjauhi tuhan. Lebih malang lagi kiranya kehormatan dan sanjungan itu membawa kita kepada ketakburan dan kekufuran.Rasa bahagia adalah bergantung kepada penafsiran kita. Rasa bahagia juga bergantung kepada sifat Qanaah dan Redha , keyakinan kita terhadap Usaha dan Tawakkal, Sabar dan harap dan yang paling penting… Kebahagiaan adalah bergantung kepada keteguhan iman kita kepada tuhan. Bahagia letaknya dihati. Kalau hati kita sakit maka kita tidak akan mengecapi kebahagiaan walaupun kita di anugerahi dengan kesihatan, kecantikan rupa paras, harta, pangkat dan kedudukan. Namun kiranya hati kita bersih dan sihat kita akan merasai bahagia dengan apa yang kita kecapi dan nikmati sekarang ini. Dalam pada itu kita terus berusaha untuk mencapai apa yang kita inginkannya dengan bergantung harapan sepenuhnya kepada tuhan setelah usaha dan ikhtiar kita lakukan…. Ingatlah bahawa kebahagiaan sejati bukan hanya untuk dikecapi didunia bahkan ianya juga untuk kita kecapi diakhirat nanti.

Rawatilah Hati Pasti Kebahagiaan Akan Menjelma

Sebenarnya punca bagi segala masalah adalah terletak pada hati. Hati yang suci akan menerbitkan zouk kebahagiaan namun sekiranya hati yang dicemari dengan kekotoran maka ianya akan menerbitkan bayangan kegelapan kedukaan.
Seorang yang beriman sebenarnya telah menyediakan tapak untuk hati menyemai pokok kebahagiaan. Pokok kebahagiaan itu akan subur dengan baja ibadah.Ibadah itu mesti dilaksanakan dengan sepenuh keikhlasan. hasilnya akan terbitlah sesuatu yang dinamakan Tajalli. Bila tajalli ini telah terbit maka kita akan merasai kemanisan ibadah yang akhirnya akan membawa ketenagan kepada hati. Apakah kita lupa akan firman tuhan yang bermaksud " Adapun dengan mengingati tuhan itu akan membahagiakan hati"?

Seringkali kita melihat manusia yang tidak tenang hatinya adalah disebabkan rohnya yang lapar. Mungkin kita tidak pernah lupa memberi makan kepada jasmani namun kita sering kali lupa untuk memberi makan roh kita. Jika jasmani kita makanannya adalah apa yang kita suapkan kemulut lalu disimpan di perut maka makanan roh kita adalah apa yang kita ucapkan zikir pada tuhan dan kita gerakkan anggota untuk tunduk dan patuh kepada tuhan lalu kita simpankan ia didalam lubuh hati. Kedua-dua ini mesti seimbang. Bukankah Rasul telah mengingatkan kita.. " Sesungguhnya bagi tuhan engkau ada hak yang mesti engkau tunaikan, bagi diri engkau ada hak yang mesti engkau tunaikan dan bagi tanggungan engkau ada hak yang m,esti engkau tunaikan... maka tunaikanlah segala hak kepada mereka yng berhak"

Dari sini kita mesti sedar bahawa hati adalah punca kebahagiaan. bagaimana untuk mensucikan hati dan menyediakannya untuk mencapai kebahagiaan akan kita bicarakan dalam keluaran akan datang Insya Allah. Semoga apa yang kita cari tentang bahagia itu mampu kita kecapi In sya Allah.

Read On 0 comments

Followers